Aug 30, 2018

nasi minyak puding raja, santap bersama raja seharian cuma

Ambilkan itu untuk saya, ujarnya merujuk pada cirit bintang yang baru terjun di ufuk sana. Saya mahu kalungkan ke leher, sambungnya lagi. Dia baru lepas baca Stardust. Aku mengangguk bukan sebab aku sanggup buat apa sahaja untuknya, tapi kalaulah dia habiskan buku tu, dia akan tahu yang jatuh itu sesuatu yang lain; bukan bintang, bukan ciritan, apatah lagi bintang yang keciritan. Aku sangat-sangat berharap sesuatu yang lain itu adalah kebahagiaan. Atau yang miripnya, macam PS4. Aku sudah lemas dalam perhubungan ini. Aku perlukan eskapism. Kemudian dengan berbekalkan sekaki payung kerana sekarang musim tengkujuh aku pun bertolak, dengan ditemani saidkikku yang paling setia, iaitu kepala Brandon Boyd.

Selepas berjalan dekat dua blok, aku ditegur oleh Bartholomew, yang masih depres dan punya kecenderungan membunuh diri. Hei mahu ke mana? tanya Bart. Aku terangkan apa yang berlaku, sedikit sebanyak. Tanpa diduga, Bart mahu ikut sekali. Tapi bagaimana dengan tugas harian kau, aku bertanya. Usah khawatir, jawab Bart. Dalam musim tengkujuh ada banyak loophole pada kitaran alam. Percayalah, hatta kehilangan jisim terbesar di sistem suria ini pun takkan ada orang yang akan perasan. Masing-masing dibeban bagasi sendiri. Walaupun sentiasa mendongak ke langit, tiada yang punya masa untuk betul-betul melihat. Terang Bart dengan panjang lebar.

Aku perkenalkan Brandon pada Bart. Brandon telah menjadi tanggungan aku selepas aku memisahkan kepalanya daripada badan beberapa bulan lepas. Aci lah, untuk selamatkan dunia paralel segenap dimensi kot. Dia patut berbangga, bukan mengada. Sampai ke hari ini badannya masih tidak ditemui jadi akulah yang terpaksa menjadi kaki dan tangannya. Tadi sebelum memulakan perjalanan dia sempat mengingatkan aku akan latihan bandnya Sabtu depan. Aku buat-buat tak dengar.

Hai Brandon, kata Bart.

Hai Bart, kata Brandon.

Maka dengan bertemankan dua kompenien yang hanya punya kepala aku pun memulakan advencer. Harapnya mereka sekepala.

Saja aku tanya Bart, adakah dia masih tertekan dengan rutin hariannya; rutin paling banal dalam sejarah rutin. Bart kata tiada apa yang berubah, cuma sekarang dia punya perspektif yang sedikit beda. Dia sedar sesetengah individu memang tak punya pilihan, yang penting apa yang dilakukan dengan masa dan rakan-rakan yang ada. Brandon mencebik. Manja sangat hang* ni, marahnya. Aku pun depres juga tapi tak ada pun aku canang ke teman-teman, menempikkan vulnerabiliti aku ke seluruh dunia. Kau tahu, tiada yang lebih depresif daripada kewujudan yang ditakrifkan dengan kepala cuma. Barangkali Brandon lupa Bart juga hanya punya kepala.

Brandon jadi moody selepas perjalanan band Boyd and The Boy(d)s tidak seperti yang diimpikan. Bassistnya kerap culas sesi latihan lepas terjatuh cinta dengan pengkid kerja kentaki. Dengar khabar dia dah buat pembedahan rekonstruksi alat kelamin dengan harapan akan didamba oleh pengkid idaman. Cowbellist pula banyak minggu dah hilang. Orang kata dia kahwin lari dengan suara pemandu dalam Waze. Sementara itu, antik Brandon di atas pentas terus menerus disambut dengan makian oleh pengunjung yang dah geram menunggu main act yang tak muncul-muncul. Tapi aku tahu yang paling kuat merembat semangat Brandon ke dasar terobskur ialah jualan album terbaru Incubus (tanpa dia, iaitu wajah Incubus selama ini) yang baru mencecah triple platinum.

Elok sangatlah tu. Kompenien yang aku harapkan dapat menyuntik keceriaan dalam advencer penuh cabaran ini kedua-duanya murung.

Pada hari pertama advencer hujan turun dengan lebat. Payung yang aku bawa tidak muat untuk menyertakan Bart maka kami bertiga berteduh di dalam sebuah bangunan tinggal. Bart bercerita tentang kewangian seorang (serta beberapa orang lagi) gadis yang pernah bertahun diekorinya. Aroma yang memenjarakannya dalam danjen asmara. Kurungan idaman yang diranapkan oleh restraining order dari mahkamah atas sabit kesalahan menghangitkan gadis itu, dan menyebabkan si gadis gagal mendapat jodoh. Setiap kali habis bercerita tentang seorang, Bart akan naik ke bumbung dan terjun. Aku dan Brandon layankan sahaja sebab kami yakin sesuatu yang trivial seperti graviti bumi takkan mampu menumbangkan makhluk semajestik Bartholomew.

Hari kedua hujan makin lebat.

Hari ketiga pun sama.

Hari keempat baru hujan berhenti. Suria seperti dijangka masih tidak memunculkan diri, di pejabat mahupun selepas dinihari.

Sambil melayan kisah-kisah percintaan Bart yang tidak pernah bermula tapi sentiasa berakhir itu, sesekali Brandon ada juga menyelitkan filosofi percintaannya, katanya untuk kekal dengan tema. Menurut Brandon cinta itu filem porno dan novel kena-paksa-kahwin-dengan-ceo-arogan-dan-kacak melayu. Aku kata aku tak boleh relate kerana aku bukan suka sangat pun tengok porno, apatah lagi baca novel sebegitu. Kartun Disney pula bolehlah untuk dijadikan eskapism.

Aku peduli apa kau boleh relate ke tak, bentak Brandon. Katanya lagi, dia berpendapat sedemikian kerana sepertimana cinta, hanya dua perkara tersebut yang kerapkali mencanangkan fantasi absurd kepada jiwa-jiwa mentah dan rakus, sekaligus melahirkan orang paling depresif yang asyik bertanya;

1. Di mana gadis yang sentiasa ghairah dan sentiasa sanggup itu?
2. Mana pergi suami CEO muda, kacak, gagah, asshole tapi sebenarnya sweet dan romantik aku ni?

Setiap kali menyampuk Brandon akan ulang benda yang sama (makin lama aku makin yakin ayat-ayat filosofiknya ni diceduknya dari internet) dan setiap kali, Bart yang ketara sangat lonelynya mesti mengangguk-angguk dengan mata yang bersinar dengan optimism (aku tak rasa Bart faham apa yang cuba Brandon sampaikan). Pada masa yang sama, suarnya akan menembak melata tanda teruja (kerap jugalah membaham rumah setinggan orang). Walaupun begitu, positiviti Bart hanya sementara. Habis cerita dia tetap akan terjun.

Pada hari kelima belas kami terjumpa juga cirit bintang. Malangnya cirit bintang yang kami jumpa itu sememangnya ciritan; ciritan daripada bintang yang tercirit. Opss my bad, kata Bart. Banyak hari dah perut dia memulas lepas kami singgah setiap kenduri kahwin yang ada di sepanjang perjalanan untuk jimat belanja.

Babi Bart.



bersambung...


*Brandon berasal dari California. Persoalan mengapa dia menyelitkan loghat utara dalam perbualan masih menjadi isu yang berlegar dalam kepala penulis.

No comments: