pasca-valentain punk rok, bilik sewa dan miniskul dalam dada
Valentain 1
Ehsan Tengkorak yang bersubang di lidah dan bermohawk hijau setinggi sekaki dua inci telah sengaja mencicirkan hati/jantungnya yang masih berdegup tepat tidak pernah langkau walau sedetikpun di SS14 Subang Jaya, dengan harapan ada gadis yang akan kutip. Dengar-dengarnya gadis-gadis di SS14 cantik-cantik belaka dan tidak pernah menghakimi berdasarkan kelas mana kau graduat diploma. Setelah berminggu melihat ia ditendang, dipijak, diludah, dikencing, dicucuh rokok tanpa prejudis oleh masyarakat, hati/jantung Ehsan Tengkorak akhirnya dikutip. Digonggong kemas oleh seekor ibu anjing yang sedang menggetap taring-taring tajam, memberikan mesej jelas kepada Ehsan Tengkorak yang sudah mencapai kayu - apa pun yang terjadi hati/jantung itu tetap akan sampai kepada anak-anaknya yang kelaparan. Ehsan Tengkorak yang mahu mengelakkan konfrontasi lantas melemparkan kayu ke tepi. Tepat tengah malam dia menggunting mohawk merimbun hijau dan menyumbatnya ke dalam dada yang kosong, sedikit ke kiri, sebelum menutup dada itu dengan petch anarki.
Valentain 2
Iklan bilik sewa itu tiada gambar, tiada harga, tiada tempat, tiada nama. Yang ada cuma nombor talipon. Setelah berminggu mencari, Samael Jiwa agak akhirnya dia telah berjumpa dengan sebuah bilik murah yang berjarak lebih kurang sepelaung dari tempat kerja barunya. Susah kalau tak berkenderaan di kota keriangan ini. Samael Jiwa berjanji dengan tuan bilik itu (seorang perempuan, harapnya cantik) untuk bertemu di Paylessbooks Amcorp Mall. Samael Jiwa tiba setengah jam lewat daripada yang dijanjikan kerana tren rosak di Setiawangsa. Namanya Mariam. Sama macam nama nenek aku, gelak Samael Jiwa dalam hati. Tapi cantik juga orangnya. Tidaklah cantik sampai tak berkelip mata Samael Jiwa memandangnya tapi oklah, manisnya ada. Di celah-celah rak buku sedikit berhabuk, Mariam mengeluarkan kunci dari kocek belakang jeans kemudian membuka satu-satunya pintu di dadanya, sedikit ke kiri. Lompong saja dalamnya. Katanya inilah bilik yang dia nak sewakan, sorilah sebab sedikit berhabuk. Ok ke tak?
Valentain 3
Setelah diinsisi, rupa-rupanyanya dalam dada sedikit ke kiri Latifah Omar, perempuan miniatur yang menjengkelkan itu, ada seorang lagi Latifah Omar yang bersaiz lebih miniskul. Latifah Omar, versi dalam dada, sudah lencun mengecut ditimpa hujan yang tidak pernah berhenti. Hujan yang geronimo dari awan hitam tepat-tepat di atas kepalanya. Kata orang, hujan dalam hati, payung pun tak boleh payung. Latifah Omar, perempuan miniatur yang menjengkelkan itu, dia sentiasa muncul dalam mag milo o panas saya. Kadang-kadang berbikini polkadot, kadang-kadang berleotard belang harimau.
10 comments:
berbikini polkadot?
ya, polkadot haha
kirim salam kat Ehsan Tengkorak,hiks...
pehhhhhhhhhhhh! tiada apa yg lebih indah melaikan fiksyen - dari sisi lain dunia lelaki yg tak pasti keberadaannya
aku suka flea market kat amcorp.
aku jumpa macam2 perkara rare dan aku dah banyak habis duit kat sana
clove - dia kirim salam balik haha
paklang - pehh. pstt pstt, ini sebenarnya dirijek juga untuk 'itu'
mira - aku tak pernah beli apa2 kat situ tapi aku mmg suka ke situ sorang2
aku da agak dah...hairan!
aku suka cerita yang kedua tapi gambaran imaginasi aku lebih jelas pada cerita yang ketiga, mungkin sebab kau pernah gambarkan latifah omar itu sebelum ini.
rugilah kalau ia telah dirijek untuk 'itu' yg aku tak tahu apa 'itu'..hehe
yg penting latifah omar perempuan miniatur yg menjengkelkan ada di mana-mana
amalina - hello, lama tak nampak. aku agak kau agak sibuk bekerja
entah kenapa aku tidak boleh tinggalkan watak latifah omar itu haha
dada - hahaha apa boleh buat. 'tak menepati kehendak pasaran' kata mereka
ya, dia ialah watak kecil yang walaupun menjengkelkan masih selalu ujud dalam hidup kita hehe
Post a Comment