tapi dia, bekas teman wanita, tidak pernah balas sms kau
Selalu juga kau tekan-tekan nombor secara rendem, berharap yang mengangkat itu ialah seorang gadis. Jikalau lelaki kau terus letak. Jikalau gadis dengan suara lemak manis dan merdu pun kau terus letak. Kau hanya meneruskan perbualan dengan gadis yang bersuara biasa. Kenapa? itu ialah rahsia antara kau dan teman-teman lama.
Mula-mula kau akan tanya, hai boleh saya bercakap dengan (masukkan nama-nama gadis kebanyakan di sini). Apabila jawapannya dimulakan dengan perkataan 'maaf' atau 'sorry', kau akan tanya lagi. Oh yeke habis ni siapa? Setelah mendapat satu nama, sebagai contoh Suraya Hanum/Ie Ling/Qystina(seorang muallaf, nama kristiannya Christina Maggot), kau akan memohon maaf pada cik itu kerana tersalah nombor.
Kau mengembalikan gagang ke tempat peraduan, gemerincing syiling mengiringi pengakhiran koneksi kau dan Suraya Hanum/Ie Ling/Qystina(seorang muallaf, nama kristiannya Christina Maggot). Kau pun mengambil keputusan untuk pulang.
Dalam pendakian ke tingkat 5 flet yang menjerihkan, kau sempat imejin legenda percintaan murni jarak jauh yang pasti tragis kau dengan Suraya Hanum/Ie Ling/Qystina(seorang muallaf, nama kristiannya Christina Maggot) yang kau gambarkan sebagai berambut hitam paras bahu, bermuka bersih tidak pernah bermekap, dan sering berkasut New Balance putih (maaf, butiran lain terpaksa dirahsiakan, takut ada stalker). Kamu berdua sangatlah serasi bersama.
Perhubungan yang dicetus dan diteruskan oleh jasa baik Telekom Malaysia. Terima kasih TM. Momen-momen serendipiti bersilih ganti dan emm kemistri, aroma yang tidak pernah menggagalkan.
Kemudian dia senyap berhari. Kau musykil, terasa macam ada sesuatu yang tak kena. Intuisi kau pantas sahaja memberitahu bahawa dia pasti telah terlibat dalam satu kemalangan ngeri. Malahan mukanya sudah rosak teruk dan ketika ini dia sedang bertarung dengan nyawanya. Kau mahu terus terbang - ahh, mengengsot pun kau sanggup - ke sisinya namun Suraya Hanum/Ie Ling/Qystina(seorang muallaf, nama kristiannya Christina Maggot) menghalang. Katanya (melalui talipon hospital), dia mahu sentiasa kelihatan perfek pada kau. Kau balas dengan, walaupun hujan asid mahupun ribut taufan berapi memamah jasad awak, awak sentiasa perfek bagi saya. Dia kata dia terharu.
Dan dalam satu adegan melodrama menyayat hati, dalam ratap tangis sendu kau dan dia, dia telah meluahkan rasa cintanya pada kau. Belum sempat kau berbuat perkara yang sama, suasana tiba-tiba menjadi senyap. Sepi. Dalam jangkamasa 2 milisaat kesunyian yang dirasakan lebih lama daripada lama itu, jantung kau berhenti berdegup. Kau sudah sedar akan hakikat yang sudah berlaku. Dada kau terasa kebas dan kesedaran kau mula menjauh sebelum kau dikejutkan oleh satu bunyi monoton panjang yang tidak putus dari sana. Dia. Sudah. Tiada. Kredit penutup.
Sesampai saja kau di rumah tingkat 5 flet, kau pun sms bekas teman wanita dengan kredit 7 sen terakhir kau. Awak, saya sangat sedih. Saya baru saja kehilangan seseorang yang saya sayang. I desperately need a shoulder to cry on. Plisss, awak saja yang saya ada (emotikon masam). Hantar. Tapi dia, bekas teman wanita, tidak pernah balas sms kau.
8 comments:
tentang suara lemak merdu itu,aku dgn teman2 juga mempunyai teori kami yg tersendiri :-)
unknown number
sampai sekarang aku diganggu..
nak jual nombor mereka boleh? haha
clove - haha apakah teorinya
ibu behel - haha. tapi mcm mana ibu mahu jual kalau ianya unknown number
ini juga! ah, 'mereka' tidak faham apa itu fiksi cinta...haha
apakan daya, mereka label major haha
ini teori ibu behel & rakan2 pula -
'kalau seseorang itu suaranya sedap di dalam telepon, maka wajahnya tidak lah seindah suaranya.sekian'
cth terdekat : ibu behel sendiri
ah salah taip unknown pulak... -.-'
hari ni baru aku sedar yang aku terlupe baca rjeksi iii dan iv.
itu saja.
ibu behel - haha begitulah yang telah saya simpulkan selama saya hidup
amalina - baiklah :)
Post a Comment