Apr 21, 2015

ini (mungkin) sabmishen saya untuk zine terbaru zsm [2]



kispen terinspirasi oleh lagu when you unfold me dari laila's lounge


Masa aku jumpa dia buat pertama kali, dia dalam keadaan berlipat, secara literalnya. Sehinggalah kami hampir bercinta dia masih begitu. Bayangkan baju kau yang berlipat kemas, tapi baju itu dia, dengan muka dan badan dia.

Pertama kali aku menegur (aku tak tahu nama dia, tapi untuk memudahkan penceritaan aku akan panggil dia W), aku guna pikap line paling hambar. Dalam banyak2 gunting, gunting apa yang boleh jatuhkan hati saya? Gunting dalam lipatan secantik awak. W buat muka stoik (lepas tu aku dapat tahu memang itu saja ekspresi yang dia ada), manakala aku.... aku raba2 poket dan berjalan melepasinya, konon2 meminta diri kerana talipon berbunyi, dan berdoa semoga W tak mendengar kehambaran tadi. Aku berkira2 untuk memilih satu sudut, nyalakan rokok, (dan bercadang untuk pergi mati) kerana aku tahu, apabila berada dalam situasi atau crowd yang buat kau kekok, satu2nya penyelamat ialah rokok. namun dilema akan wujud bila kau dah berhenti merokok, sepertimana aku sekarang.

Aku lupa bagaimana, tapi akhirnya kami berkenalan juga, dan yang selebihnya, bak kata orang, is history. Satu saja syarat W untuk kami berkenalan. Jangan sesekali buka atau meminta dia membuka lipatannya. Aku setuju kerana how hard could that be? Bahgia jugalah aku. Kerap juga kami bertukar pendapat (lebih tepat aku seorang saja yang berbicara, W sama ada hanya mengangguk atau mengalih pandangan ke lain) tentang mortaliti, signifikan keterbukaan, dan isu2 khabarnya deep yang lain.

Tempoh hari aku ada bersua seorang gipsi tua yang berbau semacam tumisan bawang dengan bebola kristalnya. dia kata untuk ketelusan perhubungan, kita tidak boleh tertutup, tiada selindung, tiada perlu menyorok di balik lapisan, dan yang paling penting perlu ada give and take. Ringgit sepuluh katanya seusai itu. Aku terfikir sejenak seraya memohon ijin untuk tumpang tandas. Aku lolos melalui tingkap tandas. Give and take tu give and take juga tapi babi apa sampai sepuluh ringgit kau caj aku.

Kebetulan hari tu ulang minggu kedua persahabatan kami. Aku rasa aku sudah ada hak untuk membebaskan W daripada belenggu lipatan, maka aku bercadang untuk kejutkannya dengan membelikan hanger. Hanger konvenien yang marhaen2 sahaja, murah dan tak beropol2 sangat pun, sebab aku tahu keikhlasan hati pasti akan mengiluminasi segala. Debar jugalah masa aku propos idea hanger tu. Hakikat bahawa W tersenyum (aku maktubkan apa saja reaksinya ketika itu sebagai senyuman) semasa aku membuka lipatannya, meyakinkan aku bahawa tindakan aku tepat sekali. Bukaan leher W aku selitkan pada hanger yang digantung. Semacam dalam gerak perlahan, W terbuai2 disapa bayu senja. Euforik juga rasa ini.

Namun itu sebelum gipsi peramal muncul entah dari mana dan menyarungkan W ke badannya semacam baju, kemudian tahu2 sahaja gipsi yang dah lewat senja tu berubah menjadi W yang baru terbit fajar. Kata W/gipsi, hutang harus dibayar, walaupun tak dituntut, macam PTPTN, sebelum berlalu pergi sambil bersiul riang lagu tersedih kumpulan Radja.




Jilaka punya W/gipsi. Dia tak pulangkan balik pun hanger aku.

No comments: