jangan tanya kenapa. ini fikshen surreal. make believe dan ketidaklojikan berjalan seiring. adakalanya ia metafor kepada kehidupan saya, namun ada juga yang tidak. ok, kita berbalik pada norazam. norazam ialah watak utama dalam cerita ini.
pada tengahari selasa yang panas tak terkata itu norazam berenang dalam kolam darah sendiri lagi, dah jadi macam rutin pula. tapi norazam sebagai seorang optimis mana kenal erti putus asa. fuhh, baiklah, sekali lagi. norazam bangkit entah buat kali ke berapa seraya mengibas2 kot trench lusuh reput yang dah berkenalan dengan berjenis cecair yang pernah terembes daripada badannya, segala macam warna serta kelikatan. buat masa ni kot trench kesayangan masih bertahan. bertabahlah ya, jangan koyak lagi. kita berdua masih ada urusan yang perlu dibereskan. topi besbol dengan logo bintang dan garis dimuat kembali ke kepala. serata tubuh norazam penuh dengan parut serta lebam dibelasah tanpa prejudis; oleh lelaki gagah bersinglet juga wanita berstileto lima inci.
seorang gadis berkemaja-t children of bodom dilihat keluh kesah di dalam barisan panjang yang tidak dapat norazam pastikan untuk membeli apa. tapi barisan itu serius memang panjang, dan gadis itu lebih serius memang perlukan bantuan. sambil mengheret kaki kiri yang dah tempang norazam menegur gadis gelisah. hai, saya ada sesuatu untuk awak. sebagaimana episod2 lalu, belum sempat norazam membuka kancing kot trenchnya, gadis gelisah dah bertempik dan kita semua tahu apa yang berlaku selepas itu.
celaka punya flasher. itu kata jejaka berkemeja-t radja sebelum dia meludah muka norazam. barisan masih panjang dan setelah selesai merakam video dengan niat untuk mengaibkan, masing2 dah kembali mengadap selfon dan mengabaikan terus norazam yang sedang terbaring dengan rusuk yang patah di beberapa tempat. ah, elok sungguh langit hari ni. maka seperti klise kebiasaan apabila merenung langit, norazam membayangkan dia terbang, dan tahu2 saja dia dah di sana, mendampingi mesra awan dan berteguran dengan unggas. tiga bilah kipas pada perut yang sedikit ke depan berputar pantas, mengangkat tubuhnya melawan hukum graviti. lebih baik begini, daripada melunaskan angan2 romantis untuk memburu gadis2 kepanasan kemudian menyejukkan si gadis dengan perut berkipasnya. norazam mengeluarkan ukulele (yang cadangnya mahu dimainkan tatkala gadis dah gembira dan dinyamankan) dari kot trench yang akhirnya tewas (tenanglah kau di sana, teman) kemudian memainkan lagu bertajuk 'ini lagu cinta anti-graviti di langit jingga kuala lumpurlah setan'. tapi belum sempat korus, dunia norazam dah tinggal separuh. sekerat kepalanya dah lompong diheadshot oleh entah siapa. mungkin sesetengah orang tidak dilahirkan untuk hidup bahgia, fikir norazam sebelum impak kejatuhannya dikusyen si jejaka berkemeja-t radja. berdebar betul norazam tatkala matanya bertembung dengan mata jejaka radja. err, saya ada sesuatu untuk awak.
No comments:
Post a Comment