Dia sudah berlalu. Mataku masih mengekori, sehinggalah susuknya hilang di dalam gerombolan mamalia yang berlumba menaiki lif, mahu ke kemuncak tertinggi, kepingin lebih dekat dengan syurga. Tiadalah aku mahu peduli kerana seperti yang kamu semua nampak syurgaku hanyalah di atas bangku usang di bawah pokok ru ini, Isnin hingga Sabtu, pada 8 pagi, 12 tengahari, dan 6 petang yang kadangkala berlanjutan hingga ke 8 malam, atau 10.
Malam ini, sebagaimana malam-malam sebelum dia akan melabun di tepi jalan, memerhati kereta lalu-lalang, sepasang sayap emas terselindung di balik obskuriti. Setiap kereta yang berhenti akan membuka tingkap dan kepalanya disua ke dalam, membiarkan rambut emasnya ditiup bayu malam, mahu membincangkan prospek perniagaan. Ada yang membawanya pergi, ada yang tidak. Bagaikan memancing, di dalam kolam sempit yang cetek dan jernih.
Dan begitulah, ripit sehingga minggu ketiga, di mana aku telah terbaca di dada akhbar (yang macam biasa hanya dibeli untuk mengintainya di tempat biasa, bangku usang bawah pokok ru) dia dikatakan telah terjun dari bumbung menara Satu, menghentam konkerit sehingga berkecai tiada berupa.
Apabila paramedik tiba anggota tubuhnya banyak yang sudah hilang, mungkin dibaham anjing liar ataupun burung hering yang banyak bergentayangan di Kota Lumpur ini. Polis Diraja dengan pantas menolak kemungkinan homisid. Huh, pemalas!
Malam tadi bulan penuh.
Aku hairan. Membunuh diri dengan terjun bangunan bukanlah satu konvenien bagi seorang yang bersayap. Apabila panik, takut dan sesal menyapa, pantas saja refleks akan mengambil alih dan tahu-tahu saja kamu sudah 200 kaki dari paras laut.
Oh, lupa aku mahu beritahu. Ada satu perkara aneh berlaku pada aku Subuh semalam. Kau mahu tahu apa? Begini ceritanya :
Aku terjaga separuh bogel hanya dengan berspandex hitam elastik paras paha di celah longkang belakang menara Satu. Apa entah yang aku baham malam tadi tapi perut aku terasa bagai akan kenyang berminggu (dan memang betul itu hakikat yang terjadi). Aku yakin di dalam perutku sekarang ada daging makhluk mitos suci cuma aku tidak dapat pastikan apakah ia.
Dada aku tiba-tiba sebak dan nafas aku termengah-mengah. Tahu-tahu sahaja aku sudah menangis, teresak-esak macam bayi. Aneh, tapi aku malas mahu peduli. Yang penting aku perlu balik samak dan tidur secukupnya, malam tadi ialah malam yang sangat panjang. Lagipun hari ini hari Ahad dan dia tidak bekerja.
Sepanjang perjalanan pulang air mataku masih mengalir. Mahu percaya atau tidak tiadalah aku peduli kerana ini ialah kisah aku, tapi hakikatnya mata aku sedang mengalirkan air mata emas. Aku boleh nampak, dalam gerak perlahan, kilauan itu mengalir dari sudut mata aku, melalui pipi dan akhirnya terjun disentap graviti. Tapi sayang, sesampai sahaja di lantai ia sudah bertukar menjadi air mata biasa. Aku menangis hingga petang.
Ajaib kan tapi aku sudah tiada asa mahu berfikir tentang itu lagi kerana ini bukanlah cerita tentang aku tapi tentang dia, makhluk mitos suciku yang sudah tiada. Aku pasrah. Tiadalah aku tahu, di sebalik senyumnya dan tawanya itu, ada sesuatu yang sedang rakus dimamah magot.
Kalaulah aku memberanikan diri untuk menegur, mungkin....
Kawan-kawan kata aku fun orangnya. Mungkin kalau...
Kalaulah...
**
Malam tiba lagi, masih malam bulan penuh. Masa untuk berburu...
12 comments:
aku nampak watak lelaki tu pada lelaki yang baru aku tinggalkan minggu lepas.hahahahah!
(itu saja komen aku setakat ini)
serius?
aku terus terasa terer dan deep apabila ada orang boleh relate dengan cerita aku hahaha
apa yg kau makan aberun? sampai pandai menulis begini buat aku melayang2 duk pikir psl cerita ni.
huhh...
kecik2 dulu mak aku bagi aku makan daging unikon hahahah
hitam elastik mcm menawan
wadi, itu seluar ye, aku harap kau tidak berfikir yang bukan2 haha
ini sebenarnya ialah satu kesinambungan pada entri yang ini:
http://constantmourning.blogspot.com/2011/07/bulan.html
aku harap malam seterusnya bukan kau yang akan diburu.
diburu dgn pistol berpeluru perak hehe
hmm... aku mahu katakan sesuatu tapi tadi tersentak dek guruh langsung lupa
haha
aku pun selalu menghadapi keadaan sebegitu dan bila aku tak ingat2 aku akan jadi tensen
malam tadi bulan penuh..aha!
adakah percubaan utk menulis twilight dalam versi yang lari dari klise? nice!
haha
terima kasih encik eric draven
Post a Comment